Latar Belakang

Organisasi
Jabatan Penilaian Dan Perkhidmatan Harta (JPPH) Kementerian Kewangan Malaysia, bermula sebagai Bahagian Penilaian di Perbendaharaan Malaysia pada 1 Jun 1957. Kini JPPH mempunyai pegawai dan staf seramai 2,101 yang mana 260 daripadanya merupakan penilai profesional. Fungsi dan aktiviti Jabatan diperkembangkan untuk memenuhi keperluan kepakaran yang berkaitan dengan industri harta tanah.

Struktur Organisasi
Jabatan ini diketuai oleh Ketua Pengarah Penilaian di mana fungsi dan tugasnya termaktub di bawah Akta Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah 1981(Akta 242). Akta tersebut juga memperuntukkan bahawa Ketua Pengarah Penilaian adalah dilantik sebagai Presiden Lembaga Penilai, Pentaksir dan Ejen Harta Tanah, Malaysia.
 

JPPH beroperasi dari 52 cawangannya meliputi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak yang diketuai oleh 14 Pengarah Penilaian Negeri dan 38 Penilai Daerah. Ibu Pejabat JPPH bertanggungjawab bagi merancang dasar, strategi dan prosedur bagi setiap program dan aktiviti jabatan.
 
JPPH juga mempunyai sebuah pusat latihan dan penyelidikan yang dikenali sebagai Institut Penilaian Negara (INSPEN) di Bangi, Selangor.
JPPH menubuhkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) atas pengesyoran Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) pada 9 September 1999. NAPIC bertanggungjawab untuk mengumpul dan menyebarkan maklumat yang berkaitan dengan industri harta tanah.